Orang Bertaqwa Prikemanusiaannya Amat Tinggi


Orang bertaqwa itu peri kemanusiaannya amat tinggi sekali

Timbang rasa amat menonjol di dalam kehidupannya setiap hari

Dia tidak boleh melihat orang lain susah, dia susah hati

Dia pun simpati dan kasihani, menolong dan memberi

Orang susah dia bantu, orang sakit dia ziarahi

Orang mendapat kemalangan dia ziarah dan mendoakannya

Anak-anak yatim, janda-janda dia sentiasa membantu dan tunjuk kasih sayangnya

Kesenangan orang lain pula, dia pula yang rasa senang dan gembira

Di dalam pergaulan boleh bertolak ansur dan berlebih kurang

Mengutamakan orang lain jadi budaya hidupnya

Maaf-bermaafan, berkasih sayang, bertolong bantu mudah sekali

Bertegur sapa, beramah mesra kepada sesiapa sahaja

Orang bertaqwa peri kemanusiaannya tinggi sekali

Tidak mengata, tidak mencerca tidak menipu daya

Boleh membuat baik kepada orang yang jahat kepadanya

Apatah lagi orang yang membuat baik kepadanya

Dengan kawan taat setia, dengan guru, ibu bapa, pemimpin mereka hormati

Orang yang jahat dia tidak membalas kejahatan kepadanya

Bahkan didoakannya orang itu mendapat hidayah daripada Tuhan

Begitulah sifat orang bertaqwa sungguh tinggi peri kemanusiaannya

Kalau ramailah orang yang bertaqwa, amanlah masyarakat

Hidup berkasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama dan harmoni

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi